Pada tahun 1941, Kelab Sokratik ditubuhkan di Universiti Oxford England. Ia diwujudkan untuk menggalakkan perdebatan antara orang Kristian dan ateis ataupun agnostik.
Perdebatan tentang agama dalam universiti sekular bukanlah hal yang aneh, tetapi apa yang mengejutkan adalah C. S. Lewis, iaitu seorang sarjana Kristian yang hebat telah mempengerusikan Kelab Sokratik selama lima belas tahun. Lewis percaya bahawa iman kepada Kristus dapat bertahan menghadapi penelitian yang hebat, maka dia bersedia untuk menguji pemikirannya. Dia mengetahui bahawa ada bukti yang dapat dipercayai dan rasional untuk kita percaya kepada Yesus.
Dalam erti yang lain, Lewis sedang mempraktikkan nasihat Petrus kepada orang-orang percaya yang tersebar disebabkan oleh penganiayaan ketika dia mengingatkan mereka, “Dengan tulus hormatilah Kristus sebagai Tuhan dalam hidup kamu. Hendaklah kamu sentiasa bersedia memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kamu menjelaskan harapan yang kamu miliki. Tetapi lakukanlah hal itu dengan lemah lembut dan hormat” (1 Petrus 3:15-16). Petrus memberikan dua fakta utama: kita mempunyai alasan yang baik untuk berharap kepada Kristus dan kita diminta untuk memberitahu fakta dalam iman kita dengan “lemah lembut dan hormat.”
Percaya kepada Kristus bukanlah pelarian agama atau angan-angan. Iman kita didasarkan pada fakta-fakta sejarah, termasuklah kebangkitan Yesus dan bukti penciptaan yang memberikan kesaksian tentang siapa Penciptanya. Ketika kita berehat dalam hikmat Tuhan dan kekuatan Roh-Nya, semoga kita bersedia untuk berkongsi jawapan yang kita ada tentang sebab kita mempercayai Tuhan kita yang hebat.