Selepas seminggu dilanda oleh masalah kesihatan, saya pun rebah di atas sofa. Saya tidak ingin memikirkan apa-apa. Saya tidak mahu bercakap dengan sesiapa pun. Malah saya tidak mampu untuk berdoa. Saya dipenuhi dengan perasaan putus asa dan keraguan sewaktu saya memasang televisyen. Saya mula menonton iklan yang ditayangkan tentang seorang budak perempuan tengah bercakap dengan adik lelakinya. “Kamu seorang juara,” katanya. Dia terus-menerus mengesahkannya, adik lelakinya mula tersengih lebar. Saya pun tersengih melihat gelagat mereka.
Pada hakikatnya umat Tuhan sentiasa menghadapi keputusasaan dan keraguan. Dengan memetik Mazmur 95, yang mengesahkan bahawa suara Tuhan boleh didengar melalui Roh Kudus, penulis kitab Ibrani memberi amaran kepada orang Kristian untuk mengelakkan kesilapan yang dilakukan oleh orang Israel semasa mereka mengembara di padang gurun (Ibrani 3:7-11). “Saudara-saudaraku, berhati-hatilah supaya tidak seorang pun di kalangan kamu yang hatinya begitu jahat dan tidak percaya sehingga meninggalkan Allah yang hidup … setiap hari kamu mesti saling menasihati,” kata penulis Ibrani (ayat 12-13).
Dengan jaminan harapan yang ada dalam Kristus, kita dapat mengalami kuasa yang kita perlukan untuk kekal bertahan: saling mendorong dalam persekutuan orang percaya (ayat 13). Apabila seseorang yang beriman menghadapi keraguan, orang percaya yang lain mampu menawarkan dorongan dan akauntabiliti. Dengan kekuatan yang diberikan oleh Tuhan kepada kita, yakni umat-Nya, kita dapat memberi kekuatan dengan mendorong satu sama lain.