Pada tahun 2011, selepas cuba mendapatkan anak selama 10 tahun tetapi tidak berjaya, saya dan isteri saya mengambil keputusan untuk memulakan hidup baharu di negara lain. Walaupun kami teruja dengan keputusan tersebut, saya terpaksa menamatkan kerjaya saya sebagai seorang juruhebah, iaitu kerjaya yang amat saya dambakan. Disebabkan kehilangan arah hidup, saya meminta nasihat daripada sahabat saya Liam.
“Aku tidak tahu lagi apa panggilanku sekarang,” kata saya dengan kecewa. “Kamu tidak terus menjadi juruhebah di sini?” tanya Liam. “Tidak”, jawab saya. “Bagaimana pula dengan perkahwinan kamu?”
Terkejut dengan perubahan tajuk perbualan tersebut, saya memberitahu Liam bahawa hubungan saya dengan isteri saya, Merryn amat baik sekarang. Kami sama-sama pernah menghadapi kekecewaan, tetapi pengalaman tersebut telah merapatkan kami berdua.
“Komitmen merupakan teras dalam Injil,” kata Liam sambil tersenyum. “Dunia ini amat perlu melihat perkahwinan yang penuh komitmen seperti kamu berdua!” Anda mungkin tidak menyedari pengaruh yang sudah anda bawa, yang melampaui apa yang anda telah lakukan, dengan hanya mengekalkan anda seadanya.
Ketika Timotius mengalami kekecewaan disebabkan oleh situasi tugas yang sukar, rasul Paulus tidak memberikan Timotius sebarang matlamat kerjaya. Sebaliknya, Paulus menggalakkan Timotius menjalani hidupnya dengan salih, menunjukkan teladan melalui percakapan dan kelakuan, kasih terhadap orang lain, iman kepada Kristus, serta cara hidup yang suci (1 Timotius 4:12-13, 15). Dia memberi pengaruh yang terbaik dengan hidup setia kepada Tuhan.
Sangat mudah untuk menilai kehidupan kita berdasarkan keberhasilan dalam kerjaya kita. Namun, yang terpenting ialah sifat kita. Saya terlupa akan fakta ini. Tetapi perkataan yang benar, tindakan yang murah hati, bahkan perkahwinan yang penuh komitmen mampu membawa perubahan yang ketara—kerana melaluinya, kebaikan Tuhan akan menyentuh dunia ini.