Dr. Rebecca Lee Crumpler merupakan wanita Amerika Afrika pertama yang memperoleh ijazah perubatan. Namun sepanjang hayatnya (1831-95), Dr. Crumpler mengatakan bahawa dia telah “diabaikan, dihina dan dipandang sebagai orang yang tidak penting.” Meskipun begitu, dia tetap berdedikasi dalam tugasnya untuk menyembuhkan orang sakit dan menunaikan tanggungjawabnya. Dr. Crumpler berkata bahawa walaupun sebilangan orang mungkin memilih untuk menilainya berdasarkan bangsa dan jantinanya, dia akan selalu memiliki “kesediaan yang diperbaharui dan keberanian untuk pergi pada bila-bila masa dan di mana sahaja apabila dia dipanggil untuk bertugas”. Dia percaya bahawa merawat golongan wanita dan kanak-kanak serta menyediakan rawatan bagi golongan hamba yang dibebaskan merupakan caranya untuk melayani Tuhan. Dia tidak pernah mendapat pengiktirafan rasmi untuk pencapaiannya sehinggalah hampir satu abad kemudian.

Ada kalanya kita akan diabaikan, dipandang rendah, atau tidak dihargai oleh orang di sekeliling kita. Namun Alkitab mengingatkan kita, apabila Tuhan memanggil kita melakukan sesuatu tugas, kita tidak sepatutnya berusaha semata-mata untuk memperoleh penerimaan dan pengiktirafan duniawi, sebaliknya kita harus ada sikap “seolah-olah kamu melakukannya untuk Tuhan” (Kolose 3:23). Apabila kita memberi tumpuan sepenuhnya untuk melayani Tuhan, kita mampu menyelesaikan tugas yang paling sukar dengan semangat serta sukacita dalam kuasa dan pimpinan-Nya. Dengan demikian, kita akan menjadi orang yang tidak menagih perhatian pada pengiktirafan duniawi, sebaliknya lebih bersemangat untuk menerima pahala yang hanya dapat disediakan oleh Tuhan (ayat 24).