Pada suatu hari yang sibuk sebelum Hari Krismas, seorang wanita warga emas mendekati kaunter di pejabat pos yang sesak di kawasan kejiranan saya. Dengan memerhatikan langkahnya yang perlahan, kerani pos di kaunter menyapanya, “Helo, wanita muda!” Kata-kata kerani tersebut memang mesra, akan tetapi segelintir orang di situ mungkin akan salah sangka bahawa maksud “orang muda” adalah lebih baik.
Alkitab mengilhami kita untuk melihat bahawa usia lanjut boleh memotivasikan harapan kita. Ketika Yesus yang masih bayi dibawa ke Rumah Tuhan oleh Yusuf dan Maria untuk upacara penyucian (Lukas 2:23, rujuk Keluaran 13:2, 12), tiba-tiba dua orang percaya yang sudah tua menjadi tumpuan.
Yang pertama, Simeon—yang telah menunggu selama bertahun-tahun untuk melihat Mesias—”mengambil [Yesus] lalu mendukung-Nya sambil memuji Allah, ‘Sekarang, ya Tuhan, Engkau telah menepati janji-Mu. Biarlah hamba-Mu meninggal dengan tenteram. Dengan mataku sendiri aku sudah melihat Penyelamat yang datang daripada-Mu. Penyelamat yang telah Engkau sediakan di hadapan semua bangsa’ “ (Lukas 2:28-31).
Kemudian Hana, seorang nabi yang “umurnya sudah lanjut” (ayat 36). Hana tiba semasa Simeon sedang bercakap dengan Maria dan Yusuf. Dia merupakan seorang balu yang hanya berkahwin selama 7 tahun dan tinggal di Rumah Tuhan sehingga umurnya 84 tahun. Dia tidak pernah meninggalkan Rumah Tuhan, “siang malam dia beribadat kepada Allah dengan berdoa dan berpuasa.” Sewaktu dia melihat Yesus, dia mulai memuji Tuhan, menjelaskan tentang “anak itu kepada semua orang yang menantikan masanya Allah membebaskan Yerusalem” (ayat 37-38).
Kedua-dua hamba yang penuh dengan harapan ini mengingatkan kita agar tidak berhenti menunggu kedatangan Tuhan—tanpa mengira umur kita—dengan harapan yang besar.