Beberapa tahun yang lepas, saya melihat seorang lelaki sedang berjalan agak jauh di hadapan saya dengan kedua-dua tangannya memegang beberapa bungkusan. Tiba-tiba dia tersandung dan semua bungkusan yang dipegangnya terjatuh. Beberapa orang membantu dia berdiri dan mengutip barang-barang yang jatuh bertempiaran di atas jalan. Tetapi mereka terlepas pandang sesuatu—dompetnya. Saya pun mengambil dompet itu dan bergegas mengejar lelaki tersebut dengan harapan untuk memulangkan benda yang penting itu. Saya berteriak “Encik, encik!” dan akhirnya mendapat perhatiannya. Dia menoleh sebaik sahaja saya menghampirinya. Ketika saya menghulurkan dompet tersebut, saya masih ingat riak wajahnya yang kelihatan terkejut dengan perasaan lega dan penuh kesyukuran.
Situasi yang pada mulanya hanya mengikuti lelaki itu dari belakang bertukar menjadi sesuatu yang agak berbeza. Kebanyakan terjemahan Alkitab menggunakan perkataan mengiringi (atau mengikuti) dalam ayat terakhir Mazmur 23—”Tentulah kebaikan dan kasih akan mengiringiku seumur hidupku” (ayat 6, AVB). Walaupun perkataan “mengiringi” adalah sesuai dalam situasi tersebut, perkataan sebenar dalam bahasa Ibrani yang digunakan adalah lebih tegas, malah agresif. Perkataan itu secara harfiahnya bermaksud “menjejaki atau mengejar”, seperti pemangsa yang memburu mangsanya (bayangkan serigala memburu domba).
Kebaikan dan kasih Tuhan tidak sekadar mengiringi kita dengan langkah yang santai. Tidak. Kita “pasti” sedang dijejaki—malah dikejar—dengan tujuan. Seperti saya mengejar seorang lelaki untuk memulangkan dompetnya, demikian juga kita dikejar oleh Gembala yang baik dan mengasihi kita dengan kasih abadi (ayat 1, 6).