Maria meletakkan makanan segera di atas sebuah meja kosong sebagai makanan tengah harinya. Sebaik sahaja dia mula menikmati burgernya, dia ternampak seorang lelaki muda yang duduk selang beberapa meja darinya. Pakaian lelaki itu kotor, rambutnya kusut, dan dia memegang cawan kertas yang kosong. Jelas sekali bahawa dia kelaparan. Bagaimanakah Maria boleh membantu lelaki tersebut? Pemberian wang sedekah kelihatannya kurang sesuai. Jika Maria membelikan makanan untuknya, adakah mungkin dia akan berasa malu?
Pada ketika itu, Maria teringat tentang kisah Rut. Boas, iaitu seorang pemilik tanah telah menjemput Rut, iaitu seorang balu pendatang asing yang miskin untuk memungut hasil di ladangnya. Boas mengarahkan pekerja-pekerjanya: “Biarlah dia memungut barli bahkan antara yang sudah diberkas. Jangan larang dia. Cabutlah beberapa batang barli dari berkas-berkas itu dan tinggalkanlah di sana supaya dapat dipungutnya” (Rut 2:15-16). Dalam budaya masa itu, kehidupan wanita bergantung sepenuhnya kepada lelaki, malah Boas telah memperlihatkan pembekalan Tuhan yang penuh kasih kepada seorang wanita . Akhirnya Boas mengahwini Rut, dan mempertahankan warisannya (4:9-10).
Ketika Maria beredar dari mejanya, dia meletakkan kentang goreng yang belum dimakannya di atas meja yang berdekatan lalu bertembung mata dengan lelaki tersebut. Jika lelaki itu lapar, dia mungkin akan “memungut” dari “ladang makanan segera” Maria. Hati Tuhan didedahkan melalui banyak kisah yang diceritakan dalam Alkitab. Malah, semua kisah itu menggambarkan kita boleh memberi dorongan kepada orang lain melalui cara yang kreatif.