Dalam filem Fiddler on the Roof, seorang watak yang bernama Tevye bercakap secara jujur dengan Tuhan tentang ekonomi-Nya: “Engkau telah mewujudkan begitu ramai orang miskin. Sudah tentunya, aku sedar bahawa menjadi miskin itu tidak memalukan. Tetapi itu juga bukan suatu penghormatan! Jadi, adakah ini sesuatu yang buruk jika aku mempunyai kekayaan walaupun hanya sedikit! … Adakah itu akan merosakkan rancangan yang besar dan kekal—jikalau aku seorang yang kaya?
Beberapa abad dahulu, sebelum penulis Sholem Aleichem menaruh kata-kata yang jujur ini di lidah Tevye, Agur juga memanjatkan doa yang jujur tetapi agak berbeza kepada Tuhan dalam kitab Amsal. Agur memohon kepada Tuhan, “Tolonglah aku supaya aku tidak kaya dan tidak miskin. Oleh itu, berilah aku hanya apa yang aku perlukan” (Amsal 30:8). Agur tahu bahawa mungkin dia akan menjadi sombong dan berubah menjadi seorang ateis—menafikan sifat Tuhan, kalau dia mempunyai “terlalu banyak” [kekayaan]. Tambahan pula, Agur berdoa supaya Tuhan tidak membiarkan dia “menjadi miskin” kerana itu mungkin akan menyebabkan dia mencuri milik orang lain dan memalukan nama Tuhan (ayat 9). Agur mengakui bahawa Tuhan merupakan satu-satunya sumber segala keperluannya, dan memohon kepada Tuhan untuk memberi dia “secukupnya” bagi memenuhi keperluan sehariannya. Doa Agur mendedahkan niatnya untuk mengikut Tuhan dan kepuasan yang hanya dapat ditemukan dalam Tuhan.
Semoga kita memiliki sikap seperti Agur, mengakui Tuhan sebagai sumber bagi segala yang kita miliki. Semasa kita mengurus kewangan dengan cara yang memuliakan nama-Nya, marilah kita hidup dengan kepuasan di hadapan Tuhan—Dia tidak hanya menyediakan “secukupnya”, tetapi lebih daripada mencukupi.