Pada tahun 2019, satu penyelidikan telah dilakukan untuk meninjau tentang warisan rohani orang Kristian di Amerika Syarikat. Penyelidikan ini mendapati bahawa golongan nenek dan ibu mempunyai pengaruh yang besar terhadap perkembangan rohani. Hampir dua pertiga orang berkata bahawa mereka mewarisi iman melalui ibu mereka, manakala satu pertiga orang mengakui bahawa datuk dan nenek (biasanya nenek) juga memainkan peranan penting.

Penyunting laporan tersebut berkata, “Kajian ini berulang kali bercakap tentang impak yang berterusan oleh golongan ibu-ibu dalam … perkembangan rohani.” Impak sedemikian juga boleh ditemui dalam Alkitab.

Dalam surat Paulus kepada anak didiknya Timotius, Paulus menyebutkan bahawa Timotius mewarisi iman melalui neneknya Lois dan ibunya Eunike (2 Timotius 1:5). Ini merupakan perincian peribadi yang menarik kerana dapat menonjolkan impak dua orang wanita terhadap salah seorang pemimpin gereja awal. Pengaruh kedua-dua wanita tersebut juga boleh dilihat dalam dorongan Paulus kepada Timotius: “hendaklah engkau tetap berpegang kepada ajaran benar yang sudah diajarkan kepadamu [kerana] sejak kecil lagi engkau telah mengenal Alkitab” (3:14-15).

Warisan rohani yang kuat merupakan hadiah yang amat berharga. Namun, walaupun zaman kanak-kanak kita kekurangan pengaruh positif sepertimana yang telah membentuk iman Timotius, kemungkinan besar ada orang lain dalam hidup kita yang telah memberikan impak yang besar dalam pembentukan kerohanian kita. Apa yang penting adalah setiap kita mempunyai peluang untuk menjadi contoh iman yang tulus kepada orang di sekeliling kita, dan meninggalkan warisan yang berkekalan.