William Cowper (1731 -1800), seorang penyair Inggeris, membina persahabatan dengan pastornya, John Newton (1725 -1807), yang juga merupakan bekas pedagang hamba. Cowper mengalami kemurungan serta kebimbangan, malah telah beberapa kali cuba untuk bunuh diri. Setiap kali Newton melawat Cowper, mereka akan pergi bersiar-siar dan bercakap tentang Tuhan. Newton mendapat idea untuk menghimpunkan sebuah buku lagu dengan harapan bahawa Cowper akan mendapat manfaat agar dia dapat melibatkan dirinya secara kreatif dan mempunyai alasan untuk menulis puisinya. Cowper menyumbang banyak lagu, termasuklah “God Moves in a Mysterious Way” (Tuhan Bekerja dengan Cara yang Ajaib). Ketika Newton berpindah ke gereja lain, dia dan Cowper masih kekal sebagai sahabat yang rapat dan sentiasa berhubung sepanjang hayat Cowper.

Saya mendapati bahawa persahabatan erat antara Cowper dan Newton mempunyai persamaan dengan hubungan persahabatan Daud dan Yonatan dalam Perjanjian Lama. Selepas Daud berjaya mengalahkan Goliat, “berpadulah jiwa Yonatan dengan jiwa Daud,” Yonatan mengasihinya seperti dirinya sendiri (1 Samuel 18:1, AVB). Walaupun Yonatan ialah anak Raja Saul, dia mempertahankan Daud daripada kecemburuan dan kemarahan Raja Saul, dan mempersoalkan ayahnya sebab Daud harus dihukum mati. Namun, “ketika itu juga Raja Saul melemparkan tombak ke arah Yonatan untuk membunuh dia” (20:33). Yonatan berjaya mengelak senjata tersebut dan berasa sedih dengan layanan yang memalukan itu terhadap rakannya (ayat 34).

Dua pasangan sahabat ini memiliki ikatan persahabatan yang memberi kehidupan kerana mereka saling mendorong untuk melayani dan mengasihi Tuhan. Bagaimanakah anda dapat mendorong seorang kawan pada hari ini?