Syarikat Nokia menjadi jenama telefon bimbit yang terlaris di dunia pada tahun 1998, dengan keuntungan meningkat kepada hampir $4 bilion dolar pada tahun 1999. Namun menjelang tahun 2011, jualan syarikat ini semakin menurun dan tidak lama kemudian, jenama telefon yang semakin merosot tersebut diambil alih oleh syarikat Microsoft. Faktor utama kegagalan telefon bimbit syarikat Nokia ialah budaya kerja yang berasaskan perasaan takut sehingga mengakibatkan keputusan yang merugikan. Para pengurus syarikat itu enggan memberitahu kebenaran tentang kelemahan sistem operasi telefon bimbit Nokia serta masalah reka bentuk yang lain kerana mereka takut dipecat.

Raja Ahas dari Yehuda dan rakyatnya berasa amat takut—”sehingga mereka gementar seperti pokok digoyangkan angin” (Yesaya 7:2). Mereka tahu bahawa raja Israel telah berkomplot dengan raja Aram (Siria), dan gabungan tentera dari kedua-dua negara tersebut sedang berarak ke Yehuda untuk menjajahnya (ayat 5-6). Walaupun Tuhan mengutus Yesaya untuk mendorong Raja Ahas bahawa rancangan musuhnya “tidak akan berlaku” (ayat 7), tetapi pemimpin yang bodoh itu memilih untuk berkomplot dengan Asyur dalam ketakutan, dan akhirnya tunduk kepada raja kuasa besar tersebut (2 Raja-Raja 16:7-8). Raja Ahas tidak percaya kepada Tuhan, yang mengisytiharkan bahawa, “jika kamu tidak sungguh-sungguh percaya kepada-Ku, pasti kamu akan jatuh” (Yesaya 7:9).

Penulis kitab Ibrani membimbing kita memikirkan cara untuk berdiri teguh dalam iman pada masa kini. “Hendaklah kita berpegang teguh kepada harapan yang kita akui, kerana Allah dapat dipercayai dan Dia akan menepati janji-Nya” (10:23). Marilah kita terus maju dan tidak “undur” (ayat 39, AVB), kerana Roh Kudus memberi kuasa kepada kita untuk mempercayai Yesus.