William Shakespeare pakar dalam memberi sindiran, suatu “kualiti” yang dimanfaatkan dengan baik oleh pelakon Barry Kraft dalam bukunya, Shakespeare Insult Generator (Penjana Sindiran Shakespeare). Buku tersebut mengandungi kata-kata sindiran yang diambil daripada lakonan Shakespeare. Sebagai contoh, anda mungkin menyindir seseorang dengan berkata, “Kamu bagaikan seekor ayam yang suka berketak di darat dan seperti antah di tepi gantang, masuk tak genap keluar tak ganjil”—kata-kata ini lebih menarik berbanding dengan berkata, “Kamu banyak bercakap besar dan tidak begitu bijak, bajingan!”

Buku Kraft tersebut ditulis semata-mata untuk hiburan dan jenaka. Tetapi seorang raja Moab pada zaman dahulu bukan sahaja cuba mengupah seorang nabi yang penuh misteri untuk menghina orang Israel, tetapi juga mengutuk mereka secara terang-terangan. “Datanglah untuk mengutuk mereka,” kata Raja Balak kepada Bileam (Bilangan 22:6). Sebaliknya, Bileam menimbulkan kemurkaan raja dengan memberkati orang-orang Ibrani—beberapa kali (24:10). Salah satu berkat itu ialah adalah nubuat ini: “Aku melihat dia tetapi bukan sekarang. Aku memandang dia tetapi bukan dari dekat” (24:17, AVB). Jelas bahawa individu yang disebut oleh Bileam masih belum wujud, tetapi siapakah yang dimaksudkannya? Ayat seterusnya mengandungi suatu petunjuk. “Sebuah bintang akan terbit daripada Yakub, sebuah cokmar pemerintahan akan timbul dari Israel” (ayat 17, AVB). Pada suatu hari nanti, “bintang” itu akan membimbing ahli-ahli kaji bintang kepada Anak yang dijanjikan (Matius 2:1-2).

Nabi Mesopotamia pada zaman kuno itu yang tidak tahu apa-apa tentang Mesias memberi petunjuk kepada dunia ini tentang kedatangan-Nya pada masa depan. Dia tidak mendatangkan kutuk, melainkan berkat.