Burung gagak Clark (“Clark’s Nutcracker”) merupakan sejenis burung yang mengagumkan. Setiap tahun, burung itu membuat persediaan untuk musim sejuk dengan menyembunyikan 4 atau 5 tembolok biji benih pokok pain whitebark, atau 500 biji benih setiap jam. Beberapa bulan kemudian, burung tersebut akan kembali untuk mencari biji benih yang disoroknya pada musim salji, walaupun di bawah salji yang tebal. Seekor burung gagak Clark mampu mengingat sebanyak 10 ribu lokasi biji benih yang disembunyikan—satu pencapaian yang amat mengagumkan (terutamanya apabila anda memikirkan kesukaran yang dihadapi oleh manusia hanya untuk mengingat tempat kita meletakkan kunci kereta atau cermin mata).

Namun, daya ingatan yang luar biasa ini tidak dapat menandingi Tuhan yang mampu mengingat doa-doa kita. Tuhan mengetahui setiap doa yang ikhlas dan mengingatnya serta menjawabnya walaupun selepas bertahun-tahun kemudian. Dalam kitab Wahyu, rasul Yohanes menceritakan tentang “empat makhluk” dan “dua puluh empat orang pemimpin” yang menyembah Tuhan di syurga. Mereka “masing-masing memegang sebuah kecapi dan sebuah mangkuk emas berisi kemenyan, iaitu doa-doa umat Allah” (5:8).

Seperti kemenyan yang berharga pada zaman kuno, doa kita amat berharga bagi Tuhan dan Dia sentiasa menyimpannya dalam mangkuk emas! Doa kita adalah penting bagi Tuhan kerana setiap kita amat berharga bagi Dia, dan melalui kebaikan-Nya yang kita seharusnya tidak layak terima dalam Yesus, Tuhan memanggil kita menghadap takhta belas kasihan-Nya dengan berani (Ibrani 4:14-16). Justeru, marilah kita berdoa dengan sungguh-sungguh! Ketahuilah bahawa tiada satu pun perkataan yang akan dilupakan dan diabaikan kerana kasih Tuhan luar biasa.