Seorang ibu muda mengikuti anak perempuannya dari belakang yang sedang mengayuh basikal kecilnya dengan laju. Tiba-tiba budak itu tidak dapat mengawal kelajuan basikalnya lalu terjatuh dan menangis kesakitan kerana buku lalinya cedera. Dengan tenang, ibunya melutut dan tunduk ke bawah lalu mencium buku lalinya untuk “menghalau” rasa sakit. Tindakan si ibu terbukti amat berkesan kerana anaknya terus berdiri, berhenti menangis dan kembali mengayuh basikalnya. Alangkah baiknya kalau segala kesakitan kita dapat dihilangkan dengan mudah!
Rasul Paulus mengalami penghiburan Tuhan dalam segala kesusahan yang dihadapinya, tetapi dia terus berjuang. Dia menyenaraikan penderitaan yang dialaminya dalam 2 Korintus 11:23-29: disebat, dipukul, direjam, kurang tidur, kelaparan, kekhuatiran terhadap semua gereja di bawah pelayanannya. Paulus sendiri mempelajari bahawa Tuhan merupakan “Bapa yang berbelas kasihan dan Dia Allah yang sentiasa menolong” (1:3) atau seperti yang diterjemahkan dalam versi yang lain: “Bapa Yang Maha Pemurah “ (AVB). Seperti seorang ibu menghibur anaknya, demikian juga Tuhan tunduk ke bawah untuk menjaga kita dengan penuh kasih ketika kita dalam kesakitan.
Tuhan mempunyai pelbagai cara untuk menunjukkan kasih-Nya. Dia mungkin memberikan ayat Alkitab kepada kita supaya kita mendapat dorongan untuk terus berjuang, atau memakai seseorang untuk memberi semangat kepada kita dengan menghantar nota istimewa, atau menyentuh hati seorang kawan untuk menghubungi kita. Walaupun kesusahan kita mungkin tidak akan berakhir, tetapi kerana Tuhan tunduk ke bawah untuk menolong kita, kita boleh bangkit dan terus maju ke hadapan.