Rakaman video tentang sambutan Krismas keluarga Barker adalah amat sempurna. Tiga penggembala yang berjubah (anak-anak lelaki keluarga Barker) mengelilingi unggun api di padang yang berumput. Tiba-tiba, seorang malaikat muncul dari puncak bukit, yakni kakak mereka, kelihatan megah kecuali kasut sukannya yang berwarna merah jambu. Ketika bunyi muzik latar meningkat, para penggembala tersebut mula merenung ke arah langit dalam kekaguman. Seterusnya, mereka merentasi padang dan menemui seorang bayi lelaki—bayi adik lelaki mereka dalam sebuah bangsal yang moden. Kakak mereka kemudiannya bertukar pakaian dan memainkan watak Maria.
Kemudian tiba “bahagian bonus”, apabila ayah mereka menayangkan keadaan sebenar di sebalik tabir. Kita boleh mendengar anak-anak yang tengah bersungut, “Sejuknya.” “Aku mau pergi ke tandas sekarang!” “Boleh kita balik sekarang?” “Semua orang, tolonglah tumpukan perhatian,” kata ibu mereka berulang kali. Kenyataannya, situasi itu jauh berbeza dengan gambaran yang sempurna pada kad Krismas.
Sememangnya, amat mudah untuk menonton cerita Krismas yang asal daripada rakaman yang telah disunting dengan baik. Tetapi kehidupan Yesus dipenuhi dengan cabaran dan kesusahan. Sebagai contoh, Herodes yang cemburu cuba membunuh Yesus semasa Dia masih bayi (Matius 2:13). Maria dan Yusuf salah faham tentang Yesus (Lukas 2:41-50). Dunia membenci Yesus (Yohanes 7:7). Pada suatu ketika, “Saudara-saudara-Nya sendiri pun tidak percaya kepada-Nya” (7:5). Misi-Nya membawa Dia menuju kematian yang mengerikan. Yesus melakukan semua itu untuk memuliakan Bapa-Nya dan menyelamatkan kita.
Rakaman video keluarga Barker diakhiri dengan kata-kata Yesus ini: “Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku” (Yohanes 14:6). Kebenaran inilah yang kita harus pegang dalam kehidupan kita—selama-lamanya.