Burung layang-layang awan—burung kecil yang dikaitkan dengan burung layang-layang—membuat lubang di tebing sungai sebagai sarang. Pembangunan tanah di Tenggara England telah mengurangi habitat tersebut, dan burung itu mempunyai sarang yang semakin berkurangan ketika kembali dari migrasi musim sejuk setiap tahun. Ahli pemuliharaan tempatan bertindak dengan membina tebing pasir buatan yang besar untuk menempatkan burung ini. Dengan bantuan sebuah firma pengukir pasir, mereka membentuk pasir untuk mencipta sebuah tempat bagi burung-burung tersebut membina sarang untuk masa-masa akan datang.
Perbuatan belas kasihan yang mulia ini merupakan gambaran kepada kata-kata yang digunakan oleh Yesus untuk menghibur hati para pengikut-Nya. Selepas memberitahu mereka bahawa Dia akan pergi dan mereka tidak dapat pergi bersama-Nya sehingga suatu masa kelak (Yohanes 13:36), Dia memberi jaminan bahawa Dia akan “menyediakan tempat untuk [mereka]” di syurga (14:2). Meskipun mereka sedih disebabkan kata-kata Yesus itu, Dia mendorong mereka supaya menganggap tugasan yang suci itu sebagai sebahagian daripada persiapan untuk mereka menerima tempat tinggal yang kekal—begitu jugalah dengan kita.
Tanpa pengorbanan Yesus di kayu salib, “banyak tempat tinggal” yang ada di rumah Bapa tidak dapat menerima kita (ayat 2). Dengan mendahului kita untuk melakukan persiapan, Kristus menjamin bahawa Dia akan kembali dan membawa orang yang percaya kepada pengorbanan-Nya untuk bersama dengan-Nya. Di sana kita akan tinggal bersama-sama-Nya dalam sukacita yang kekal.