Baru-baru ini saya telah mendapat satu penemuan indah. Ketika mengikuti satu jalan ke dalam kelompok pokok berdekatan rumah saya, saya menemui satu taman permainan buatan yang tersembunyi. Tangga yang diperbuat daripada dahan-dahan pokok membawa ke suatu tempat meninjau, buaian yang diperbuat daripada gulungan kabel lama yang digantung di dahan pokok, dan di sana juga terdapat sebatang jambatan gantung yang bergantung di antara dahan-dahan pokok besar. Seseorang telah mengubah beberapa batang kayu lama dan kabel kepada sesuatu pengembaraan yang kreatif!
Paul Tournier, seorang pakar perubatan dari Switzerland mempercayai bahawa kita dicipta untuk pengembaraan kerana kita dicipta menurut gambaran dan rupa Tuhan (Kejadian 1:26-27). Sepertimana Tuhan menjelajah ke arah mencipta alam semesta (ayat 1-25), begitu juga Dia mengambil risiko untuk mencipta manusia yang berkemampuan untuk memilih yang baik atau jahat (3:5–6), serta memanggil kita “beranakcuculah dan bertambah banyak serta penuhilah dan takluki bumi” (1:28), kita juga mempunyai keinginan untuk mereka bentuk, mengambil risiko, dan mencipta benda baharu sementara kita membuahkan hasil ketika menguruskan dunia ini. Pengembaraan sebegini mungkin besar ataupun kecil, tetapi adalah terbaik apabila dapat memanfaatkan orang lain. Saya pasti orang yang membuat taman permainan tersebut akan teruja apabila mengetahui orang yang menjumpai tempat tersebut juga menikmatinya.
Sama ada mencipta muzik baru, menjelajah cara penginjilan yang baru, atau menyemarakkan kembali perkahwinan yang telah renggang, semua jenis pengembaraan membuat jantung kita berdegup kencang. Apakah tugas atau projek baru yang mencabar bagi anda sekarang? Mungkin Tuhan ingin memimpin anda menuju ke satu pengembaraan baru.