Pada umur 16 tahun, Luis Rodriguez pernah dipenjarakan kerana menjual dadah. Namun sekarang disebabkan cubaan membunuh, dia dipenjarakan lagi dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Tuhan menyedarkan dia tentang kesalahannya. Di dalam penjara, Luis yang muda mengingati masa kecilnya apabila ibunya setia membawa dia ke gereja. Sekarang dia berasa Tuhan sedang meruntun hatinya. Luis akhirnya bertaubat daripada dosanya dan datang kepada Yesus.
Dalam kitab Kisah Para Rasul, kita melihat seorang lelaki Yahudi yang kuat bersemangat bernama Saul, yang juga dipanggil sebagai Paulus. Dia bersalah kerana melancarkan serangan dan kecaman, malah ingin membunuh orang yang mempercayai Yesus (Kisah Para Rasul 9:1). Di situ juga mempunyai bukti yang menunjukkan dia seolah-olah ketua kumpulan perusuh tersebut, dan salah seorang yang hadir semasa Stefanus direjam (7:58). Namun Tuhan menyinari rasa bersalah Saul—secara literal. Dalam perjalanan ke Damsyik, suatu cahaya menyebabkan Saul menjadi buta, dan Yesus berkata kepadanya, “Saul, Saul, mengapa engkau menganiaya Aku?” (9:4). Saul bertanya, “Siapakah Engkau, Tuan?” (ayat 5), dan di situlah permulaan kehidupan barunya. Dia datang kepada Yesus.
Luis Rodriguez menjalani hukuman penjara tetapi akhirnya diberikan parol. Sejak itu dia melayani Tuhan, mengabdikan hidupnya dalam pelayanan di penjara di Amerika Syarikat dan Amerika Tengah.
Tuhan menebus kita dalam keadaan yang paling teruk. Dia menyentuh hati kita dan berbicara melalui kehidupan kita yang dipenuhi rasa bersalah. Tiba masanya kita bertaubat daripada dosa kita dan datang kepada Yesus.