Sebagai sebahagian ilustrasi khutbah, saya berjalan ke arah sebuah lukisan cantik, iaitu karya seorang artis yang telah dipamerkan di atas pentas. Namun saya melukis satu garisan hitam di tengah lukisan tersebut. Jemaah yang melihat tergamam kejut. Artis tersebut dengan selamba berdiri di sebelah dan hanya melihat saya merosakkan karya seninya. Selepas itu, dengan memilih sebatang berus baru, dia mengubah lukisan yang rosak itu kepada sebuah hasil seni yang indah.
Kerja pemulihannya mengingatkan saya tentang kerja Tuhan yang dilakukan-Nya dalam hidup kita apabila kita telah membuat kesilapan. Nabi Yesaya menegur orang-orang Israel yang buta dan tuli secara rohani (Yesaya 42:18-19), tetapi dia memberitakan harapan tentang penyelamatan dan penebusan Tuhan: “Jangan takut, kerana Aku telah menebus engkau” (43:1). Dia boleh berbuat yang sama bagi kita. Walaupun kita telah berdosa, jika kita mengakui dosa kita kepada Tuhan, Dia akan mengampunkan dosa kita dan menyucikan kita daripada segala kesalahan (ayat 5-7; lihat 1 Yohanes 1:9). Kita tidak dapat membawa keindahan dari kemusnahan, tetapi Yesus boleh. Berita baik daripada Injil ialah Dia telah menebus kita dengan darah-Nya. Kitab Wahyu menjanjikan kita bahawa pada akhirnya, Kristus akan menghapuskan setiap titik air mata kita, segala yang lama akan lenyap, malah Dia akan mencipta segalanya baru (Wahyu 21:4-5).
Kita mempunyai visi cerita kita yang terhad. Tetapi Tuhan yang mengetahui kita “dengan nama” (Yesaya 43:1) akan menjadikan hidup kita lebih indah daripada yang kita dapat bayangkan. Jika anda telah ditebus oleh Yesus setelah percaya kepada Dia, cerita anda, seperti lukisan tersebut, mempunyai penamatan yang indah.