“Kesedaran Kristian bermula dengan kesedaran yang pahit kerana apa yang kita anggap sebagai kebenaran sebelum ini sebenarnya adalah satu kebohongan,” Eugene Peterson menuliskan renungannya yang berpengaruh ini mengenai Mazmur 120. Mazmur 120 ialah antara “Nyanyian Ziarah” (Mazmur 120-134) pertama yang dinyanyikan oleh penziarah-penziarah dalam perjalanan mereka ke Yerusalem. Sebagaimana yang tertulis oleh Peterson dalam buku A Long Obedience in the Same Direction, mazmur-mazmur ini juga memberi kita satu gambaran perjalanan rohani yang menuju ke Tuhan.
Perjalanan tersebut hanya boleh bermula dengan kesedaran yang mendalam tentang keperluan kita untuk sesuatu yang berbeza. Sepertimana yang diungkapkan oleh Peterson, “Seseorang perlu benar-benar berasa jijik dengan keadaan di sekitarnya supaya mempunyai motivasi untuk mengikut jalan Kristus … [Seseorang] perlu berasa jemu dengan cara dunia sebelum dia mempunyai minat untuk menerokai rahmat di dunia ini. Adalah sangat mudah dikecewakan oleh kehancuran dan putus harapan di dunia sekeliling kita—budaya kita yang sentiasa mengabaikan kesakitan yang dibuat terhadap orang lain. Mazmur 120 merintih tentang hal ini dengan jujur: “Aku menyokong damai; tetapi apabila aku bersuara, mereka menyokong perang” (ayat 7).
Namun, kita boleh memperoleh penyembuhan dan kebebasan dengan mengetahui bahawa penderitaan kita juga boleh menyedarkan kita ke arah permulaan yang baru melalui satu-satunya pertolongan kita, Juruselamat yang boleh memimpin kita keluar daripada pembohongan yang membinasakan dan menuju ke jalan kedamaian dan utuh (121:2). Sepertimana kita memasuki tahun baru ini, semoga kita mencari Dia dan jalan-Nya.