Dalam satu siri rancangan TV era 1960-an yang bertajuk The Andy Griffith Show, seorang lelaki memberitahu hos, Andy bahawa dia harus membenarkan anaknya Opie memutuskan bagaimana dia mahu hidup. Andy tidak bersetuju: “Kamu tidak boleh membiarkan anak muda membuat keputusan untuk dirinya sendiri. Dia pasti akan cepat-cepat menyambar benda yang menarik terlebih dahulu dengan reben yang “berkilau” di atasnya. Kemudian, apabila dia mendapati bahawa ada cangkuk di dalamnya, sudah terlambat bagi dia. Idea yang salah telah dibungkus oleh banyak perhiasan sehingga sukar untuk meyakinkan anak-anak bahawa perkara lain mungkin lebih baik dalam jangka masa panjang.” Dia menyimpulkan bahawa peranan ibu bapa adalah penting untuk menjadi teladan yang betul dan membantu anak mereka “mengelakkan godaan.”
Kata-kata Andy mempunyai kaitan dengan hikmat yang terdapat dalam kitab Amsal: “Didiklah seorang anak di jalan yang patut dilaluinya, maka pada masa tuanya pun dia tidak menyimpang dari laluan itu” (22:6). Walaupun ramai mungkin membaca kata-kata ini sebagai janji, ini sebenarnya adalah suatu panduan. Setiap kita dipanggil untuk membuat keputusan kita sendiri untuk mempercayai Yesus. Tetapi kita boleh membantu mereka membina asas Alkitabiah melalui kasih kita kepada Tuhan dan firman-Nya. Kita juga boleh mendoakan anak-anak kecil di bawah jagaan kita agar apabila mereka menjadi dewasa, mereka akan memilih untuk menerima Kristus sebagai Penyelamat serta mengikuti jalan-Nya, bukannya melangkah “di jalan orang yang menyeleweng” (ayat 5).
Kemenangan kita dalam mengatasi “perkara yang berkilau” melalui kuasa Roh Kudus juga merupakan kesaksian yang kuat. Roh Yesus menolong kita menahan godaan dan membentuk kehidupan kita menjadi contoh yang patut diteladani.