80 tahun perkahwinan! Bapa saudara suami saya, Pete dan isterinya Ruth meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang luar biasa ini pada 31 Mei 2021. Selepas dipertemukan pada tahun 1941 ketika Ruth masih di sekolah menengah, pasangan muda ini begitu bersemangat untuk berkahwin sehingga mereka melarikan diri sehari selepas Ruth menamatkan pelajarannya. Pete dan Ruth percaya bahawa Tuhan telah menyatukan mereka dan membimbing mereka selama ini.

Ketika mengimbas kembali lapan dekad perkahwinan mereka, Pete dan Ruth bersetuju bahawa satu kunci untuk mengekalkan hubungan mereka adalah sikap mengampuni. Sesiapa sahaja yang memiliki hubungan yang sihat pasti memahami bahawa setiap kita sentiasa memerlukan pengampunan bagi tindakan kita yang mungkin telah menyakiti satu sama lain, sama ada disebabkan oleh kata-kata yang tidak baik, janji yang gagal ditepati, atau tugas yang diabaikan.

Dalam bahagian Alkitab yang ditulis untuk membantu orang yang percaya kepada Yesus agar hidup dalam kesatuan, Paulus merujuk kepada peranan penting dalam pengampunan. Selepas menggesa pembacanya memilih sikap “belas kasih, baik budi, rendah hati, lemah lembut dan sabar” (Kolose 3:12), Paulus menambahkan kata-kata dorongan untuk “maaf-memaafi, jika seseorang ada sesuatu aduan terhadap yang lain” (ayat 13). Yang paling penting, interaksi antara satu sama lain harus berdasarkan kasih (ayat 14).

Hubungan yang menampilkan ciri-ciri yang ditekankan oleh Paulus adalah diberkati. Semoga Tuhan menolong kita berusaha untuk memupuk hubungan yang sihat dengan bercirikan kasih dan pengampunan.