Pada suatu petang sewaktu saya berjoging berhampiran tapak pembinaan di kawasan kejiranan kami, seekor anak kucing yang kurus dan kotor mengiau ke arah saya dengan sedih dan mengikuti saya pulang. Hari ini, Mickey menjadi seekor kucing dewasa yang sihat dan kacak, menikmati kehidupan yang selesa dalam rumah kami dan sangat disayangi oleh keluarga saya. Setiap kali saya berjoging di jalan yang saya menemuinya, saya sering bercakap dalam hati, Terima Kasih Ya Tuhan, Mickey tidak lagi hidup di jalanan. Dia sudah mempunyai rumah sekarang.

Mazmur 91 bercakap tentang mereka yang “tinggal di tempat rahsia Yang Maha Tinggi” (ayat 1), menjadi ahli keluarga Tuhan. Kata Ibrani untuk tinggal di sini bermaksud “kekal, tinggal selama-lamanya”. Semasa kita kekal dalam Dia, Dia menolong kita hidup menurut hikmat-Nya, dan yang penting sekali adalah mengasihi Dia (ayat 14; Yohanes 15:10). Tuhan menjanjikan penghiburan-Nya akan menyertai kita selama-lamanya, begitu juga kehadiran-Nya yang menyelamatkan sewaktu kita melalui kesukaran di dunia. Walaupun masalah mungkin datang, kita boleh bersandar pada kedaulatan, hikmat dan kasih-Nya, serta janji-Nya untuk melindungi dan menyelamatkan kita.

Apabila kita menjadikan Tuhan sebagai perlindungan kita, kita “menetap di bawah bayang-bayang Yang Maha Kuasa” (Mazmur 91:1). Tiada masalah dapat menimpa kita kecuali diizinkan oleh hikmat dan kasih Tuhan yang tidak terhingga. Inilah keselamatan yang kita nikmati apabila memiliki Tuhan sebagai tempat kediaman kita.