Apabila Doris Kearns Goodwin memutuskan untuk menulis buku tentang Abraham Lincoln, dia berasa resah kerana kira-kira 14 ribu buah buku telah ditulis mengenai presiden Amerika Syarikat yang ke-16 itu. Apa lagi yang boleh dikatakan tentang pemimpin yang dikasihi ini? Namun fakta itu tidak menghalang Goodwin menghasilkan sebuah buku yang bertajuk A Team of Rivals: The Political Genius of Abraham Lincoln. Pandangan penulisannya yang segar tentang gaya kepimpinan Lincoln menjadikan buku tersebut mendapat penilaian dan ulasan tertinggi.
Rasul Yohanes menghadapi cabaran yang berbeza semasa menulis tentang pelayanan dan penderitaan Yesus. Ayat terakhir dalam kitab Yohanes berkata, “Ada banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh Yesus. Andainya dituliskan segala-galanya, aku rasa seluruh dunia ini pun tidak cukup untuk memuatkan semua kitab itu” (Yohanes 21:25). Yohanes mempunyai lebih banyak bahan penulisan yang boleh digunakannya!
Maka strategi Yohanes adalah memberi tumpuan hanya kepada beberapa mukjizat (tanda) terpilih yang menyokong pengakuan “Aku” oleh Yesus di sepanjang pelayanan-Nya. Namun tujuan abadi di sebalik strategi ini adalah untuk menyatakan: “Tetapi segala yang telah ditulis di sini bertujuan supaya kamu percaya bahawa Yesus ialah Kristus, Anak Allah, dan kerana kamu percaya kepada-Nya, kamu akan memperoleh hidup dalam nama-Nya” (Yohanes 20:31). Yohanes memberikan banyak alasan daripada begitu banyak bukti untuk percaya kepada Yesus. Siapakah yang anda boleh ceritakan tentang Dia pada hari ini?