Bertahun-tahun yang lalu, seorang kawan memberitahu saya bahawa dia sangat takut untuk menyeberang jalan raya yang mempunyai beberapa simpang. “Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini; peraturan untuk menyeberang jalan yang telah saya pelajari tidak berkesan. Saya sangat takut sehingga saya berdiri di sudut jalan, menunggu bas dan bertanya kepada pemandu bas jika dia membenarkan saya menumpang ke seberang jalan. Saya mengambil masa yang lama sebelum berjaya belajar menyeberang persimpangan ini sebagai pejalan kaki dan kemudian sebagai pemandu.”

Betapa rumit pun persimpangan lalu lintas yang berbahaya, kerumitan hidup adalah lebih mengancam. Walaupun kita tidak pasti dengan khusus apa itu situasi pemazmur dalam Mazmur 118, kita tahu bahawa keadaannya amat sukar dan doa ini tepat pada masanya: “Aku berseru kepada TUHAN dalam kesusahan” (ayat 5), kata pemazmur. Keyakinannya kepada Tuhan memang jelas: “TUHAN memihak kepadaku; aku tidak akan takut … TUHAN menyokongku” (ayat 6-7).

Ini bukan hal yang luar biasa untuk menjadi takut apabila kita perlu menukar pekerjaan, sekolah atau tempat tinggal. Kebimbangan timbul apabila kesihatan merosot, hubungan mengalami perubahan, atau kehilangan wang. Tetapi cabaran-cabaran ini tidak perlu ditafsirkan bahawa Tuhan mengabaikan kita. Maka apabila menghadapi masa yang sukar, semoga kita datang ke hadirat-Nya dengan penuh doa.