Wajah Brendan dan Katie berseri-seri memandang satu sama lain. Melihat sukacita murni di wajah mereka, anda tidak akan menyangka bahawa banyak rancangan perkahwinan mereka telah diubah secara mendadak disebabkan sekatan COVID-19. Walaupun hanya seramai 25 ahli keluarga yang hadir, sukacita dan kedamaian terpancar daripada wajah pasangan ini ketika mereka mengucapkan ikrar cinta yang terjalin antara mereka berdua dan rasa syukur atas kasih Tuhan yang memelihara mereka.

Gambaran pasangan pengantin yang gembira melihat satu sama lain adalah gambaran yang dilukiskan oleh nabi Yesaya, yakni gambaran tentang sukacita dan kasih Tuhan kepada umat-Nya. Dalam huraian puitis yang indah tentang pembebasan yang dijanjikan oleh Tuhan, Yesaya mengingatkan pembacanya bahawa keselamatan yang dijanjikan Tuhan kepada mereka mencerminkan realiti hidup di dunia yang rosak—penghiburan bagi yang patah hati, kegembiraan bagi yang berduka, dan penyediaan untuk keperluan umat-Nya (Yesaya 61:1-3). Tuhan menjanjikan pertolongan kepada umat-Nya kerana, seperti pengantin lelaki dan perempuan meraikan cinta mereka, “demikianlah Allahmu akan bergirang melihat engkau” (62:5).

Inilah kebenaran yang luar biasa bahawa Tuhan bersukacita ke atas kita dan ingin membina hubungan dengan kita. Walaupun kita bergelut akibat hidup di dunia yang rosak, kita mempunyai Tuhan yang mengasihi kita dengan kasih yang bersukacita dan “kekal selama-lamanya” (Mazmur 136:1).