Baru-baru ini, saya dan isteri sedang membersihkan rumah kami sebelum menerima tetamu. Saya melihat beberapa kesan kotoran hitam pada lantai jubin dapur putih kami—saya terpaksa melutut untuk menggosoknya sehingga hilang. Tetapi kemudian saya menyedari: semakin saya menggosok, semakin banyak kesan kotoran hitam lain yang saya perhatikan. Setiap kotoran hitam yang saya gosok menjadikan yang lain lebih jelas. Lantai dapur kami tiba-tiba kelihatan sangat kotor. Pada saat itu, saya menyedari bahawa tidak kira betapa kerasnya saya berusaha, saya tidak akan dapat membersihkan lantai ini sepenuhnya.
Alkitab mengatakan sesuatu yang sama tentang pembersihan diri—usaha terbaik kita untuk menangani dosa dengan kekuatan sendiri selalu gagal. Dalam keadaan yang kelihatan putus asa terhadap umat Tuhan, iaitu bangsa Israel yang selalu mengalami keselamatan-Nya (Yesaya 64:5), nabi Yesaya menulis, “Kami semua seperti orang bernajis, dan segala kebenaran kami seperti kain yang tercemar” (ayat 6).
Tetapi Yesaya tahu bahawa sentiasa ada harapan dalam kebaikan Tuhan. Maka dia berdoa, “Tetapi sekarang, ya TUHAN, Engkaulah Bapa bagi kami. Kamilah tanah liat dan Engkaulah tukang tembikar“ (ayat 8). Dia tahu bahawa Tuhan sahaja yang boleh membersihkan apa yang tidak dapat kita lakukan, sehingga kesan kotoran yang paling hitam sekalipun akan menjadi “putih seperti salji” (1:18).
Kita tidak dapat menghilangkan noda dosa dalam jiwa kita. Syukurlah, kita boleh menerima keselamatan Tuhan yang pengorbanan-Nya membolehkan kita dibersihkan sepenuhnya (1 Yohanes 1:7).