Semasa saya berkhidmat sebagai ahli fakulti dalam sebuah persidangan penulisan, Tamy menyerahkan sekeping poskad kepada saya dengan doa tulisan tangan di belakangnya. Dia menjelaskan bahawa dia membaca biografi fakulti, menulis doa khusus pada setiap kad, dan berdoa semasa dia menyampaikannya kepada kami. Saya berasa kagum dengan ketelitian dalam mesej peribadinya kepada saya, dan berterima kasih kepada dorongan Tuhan melalui Tamy. Kemudian saya juga berdoa untuk Tamy. Apabila saya bergelut dengan kesakitan dan keletihan semasa persidangan itu, saya mengeluarkan poskad tersebut. Tuhan menyegarkan semangat saya semasa saya membaca semula nota Tamy.
Rasul Paulus mengakui kuasa doa yang menguatkan kehidupan orang lain. Dia menggesa orang percaya agar bersiap sedia untuk berperang menghadapi “para penghulu dunia daripada kegelapan zaman ini, para pemerintah dan penguasanya, dan tentera roh iblis di udara” (Efesus 6:12). Dia menggalakkan doa yang berterusan dan khusus, sambil menekankan keperluan doa syafaat antara satu sama lain. Paulus juga memohon orang percaya lain berdoa khusus untuknya agar dia berani memberitakan Injil. “Berdoalah juga untukku, supaya aku dikurniai daya pengucapan dan aku membuka mulut dengan berani untuk memberitahu rahsia Injil, sedangkan aku adalah utusan yang terpenjara” (ayat 19-20).
Semasa kita berdoa untuk satu sama lain, Roh Kudus menghibur kita dan menguatkan tekad kita. Dia menegaskan bahawa kita memerlukan Dia dan sesama kita, serta meyakinkan kita bahawa Dia mendengar setiap doa—doa senyap, doa yang diucapkan, atau doa yang ditulis pada kad doa—dan Dia menjawab menurut kehendak-Nya yang sempurna.