“Aku rasa seperti tikar ditarik dari bawah kakiku,” kata Jojie. “Kejutan daripada menemukan kebenaran hal itu umpama satu tamparan fizikal.” Jojie mendapat tahu bahawa tunangnya berlaku curang. Perhubungan Jojie yang terdahulu juga berakhir begini. Oleh demikian, apabila Jojie terdengar tentang kasih Tuhan dalam satu sesi pengkajian Alkitab, dia pun tertanya-tanya: Adakah ini juga penipuan? Adakah aku akan mengalami sakit hati kalau aku percaya kepada Tuhan apabila Dia berfirman bahawa Dia mengasihi aku?

Seperti Jojie, kita juga mungkin pernah mengalami hubungan yang bermasalah, hubungan yang menyebabkan kita menjadi hati-hati—bahkan ketakutan—untuk mempercayai janji kasih sayang seseorang. Kita juga mungkin berasa sebegitu tentang kasih Tuhan, sehingga tertanya-tanya jika ini suatu muslihat. Namun pastinya, kasih Tuhan bukanlah satu muslihat. “…Allah telah menunjukkan kasih-Nya sendiri terhadap kita dengan demikian: Ketika kita masih berdosa, Kristus telah mati untuk kita” (Roma 5:8).

“Akhirnya, aku sedar Tuhan telah membuktikan kasih-Nya,” kata Jojie, “dengan mengorbankan diri-Nya untuk aku.” Sahabat saya itu menyedari disebabkan keadaan diri kita yang penuh dosa, kita diasingkan daripada Tuhan, Dia pun menjangkau kita dengan mengutus Yesus mati demi kita semua (Roma 5:10; 1 Yohanes 2:2). Oleh sebab itu, dosa-dosa kita telah diampunkan, dan kita boleh mendapat hidup kekal bersama-sama Tuhan (Yohanes 3:16).

Apabila kita tertanya-tanya sama ada kita boleh mempercayai kasih Tuhan, marilah kita mengingati apa yang telah dilakukan Kristus demi kita pada kayu salib. Kita boleh mempercayai janji kasih-Nya kerana kita tahu Tuhan tetap setia.