Pada suatu ketika dahulu saya selalu memandu kereta untuk berulang-alik dari universiti ke rumah. Jalan ke rumah saya melewati padang gurun nampaknya membosankan sekali. Oleh sebab jalan tersebut panjang dan lurus, ada waktunya saya mendapati saya memandu melebihi had laju yang sepatutnya. Pada mulanya saya diberi amaran oleh polis lebuh raya. Selepas itu saya diberikan saman. Kemudiannya, saya disaman kali kedua di tempat yang sama.

Tidak mengendahkan amaran boleh membawa akibat buruk. Satu contoh tragik adalah daripada hidup Yosia, seorang raja yang baik hati dan setia. Apabila raja Mesir, Nekho, berarak melalui kawasan Yehuda untuk menolong Asyur dalam peperangan menentang Babel, Yosia keluar menghadapinya. Nekho mengirim utusan untuk memberitahu Yosia, “Allah menyuruh aku bertindak cepat. Berhentilah menentang Allah yang menyertaiku, supaya jangan engkau dibinasakan-Nya” (2 Tawarikh 35:21). Tuhan sememangnya telah menghantar Nekho, tetapi Yosia “tidak mengendahkan perkataan Nekho yang berasal daripada Allah, malah pergi berperang di Lembah Megido” (ayat 22). Akibatnya, Yosia cedera parah lalu meninggal dalam pertempuran tersebut, “Yehuda dan Yerusalem berkabung kerana Yosia” (ayat 24).

Yosia, yang mengasihi Tuhan, mendapati buruk padahnya apabila dia berkeras mengikut cara sendiri tanpa mengambil masa untuk mengendahkan Tuhan atau hikmah-Nya melalui orang lain. Semoga Tuhan memberi kita kerendahan hati yang kita perlukan untuk sentiasa memeriksa diri kita sendiri dan mengakuri hikmah-Nya.