Rumah tangga Sue retak di depan matanya. Dengan tiba-tiba suaminya meninggalkan keluarga mereka, lalu Sue bersama anak-anak berasa amat keliru dan marah. Sue memujuk suaminya untuk menghadiri kaunseling perkahwinan dengannya, tetapi suaminya menolak kerana dia mendakwa bahawa segala masalah yang timbul berpunca daripada Sue. Perasaan cemas dan putus asa menguasai Sue apabila dia menyedari bahawa suaminya mungkin tidak akan kembali lagi. Mampukah Sue menjaga diri dan anak-anaknya berseorangan?

Hagar, seorang hamba perempuan kepada Abraham dan Sarah juga menghadapi soalan sebegini. Oleh sebab tidak sabar menunggu Tuhan untuk mengurniai mereka seorang anak lelaki seperti yang dijanjikan (Kejadian 12, 15), Sarah menjadikan Hagar sebagai isteri muda kepada suaminya, lalu Hagar melahirkan seorang anak lelaki yang bernama Ismael (16:1-4, 15). Namun, apabila Tuhan menunaikan janji-Nya dan Sarah melahirkan Ishak, timbullah ketegangan dalam keluarga mereka sehingga Abraham menyuruh Hagar dan anak lelaki mereka, Ismael pergi dengan hanya sedikit makanan serta air minuman. Bolehkah anda bayangkan keadaan terdesak yang dialami oleh Hagar? Tidak lama kemudian, mereka kehabisan bekalan makanan dan minuman di tengah-tengah padang gurun. Oleh sebab habis akal dan tidak mahu melihat anak lelakinya mati, Hagar meletakkan Ismael di bawah sebatang pokok renek dan pergi duduk agak jauh daripada anak itu. Kedua-dua mereka pun mula menangis. Akan tetapi, “Allah mendengar suara anak itu” (ayat 17). Tuhan mendengar tangisan mereka, kemudian Dia memenuhi segala keperluan mereka dan menyertai mereka.

Dalam situasi yang mendesak apabila kita berasa keseorangan, itulah saatnya yang menyebabkan kita berseru kepada Tuhan. Betapa terhiburnya hati untuk mengetahui bahawa dalam saat sebegini dan sepanjang hidup kita, Tuhan selalu mendengar tangisan kita, menyediakan keperluan kita, dan sentiasa dekat bersama-sama kita.