Cendekiawan Kenneth E. Bailey mengisahkan pemimpin sebuah negara di Afrika yang belajar untuk mempertahankan pendiriannya yang luar biasa dalam komuniti antarabangsa. Dia memelihara hubungan yang baik dengan Israel dan negara-negara di sekelilingnya sekali gus. Apabila seseorang menanya bagaimana negaranya mampu mengekalkan keseimbangan yang rapuh ini, dia menjawab, “Kami memilih sahabat kami. Kami tidak menggalakkan sahabat kami memilih siapa musuh kami [bagi kami].”
Pemikiran sedemikian adalah bijaksana—dan sememangnya praktikal. Apa yang dicontohkan oleh negara Afrika tersebut pada peringkat antarabangsa adalah sebagaimana Paulus menggalakkan pembacanya untuk melakukannya secara peribadi. Dalam penerangan yang panjang lebar tentang ciri-ciri kehidupan yang telah diubah oleh Kristus, Paulus menulis,” Setakat yang mungkin, jika dalam keupayaanmu, hiduplah dalam damai dengan semua manusia” (Roma 12:18). Paulus kemudian menekankan pentingnya perlakuan kita terhadap orang lain dengan mengingatkan kita bahawa cara kita melayan musuh kita juga (ayat 20-21) mencerminkan kepercayaan dan kebergantungan kita pada Tuhan serta penjagaan-Nya yang sempurna.
Mungkin kita tidak dapat sentiasa hidup dalam damai dengan semua orang (lagipun, Paulus ada mengatakan “setakat yang mungkin”). Akan tetapi, tanggungjawab kita sebagai orang percaya dalam Yesus adalah membiarkan hikmah-Nya membimbing kehidupan kita (Yakobus 3:17-18) supaya kita dapat bergaul dengan orang di sekeliling kita sebagai pendamai (Matius 5:9). Apakah cara yang lebih baik lagi demi memuliakan “Putera Damai” kita?