Apabila Bella yang berumur lima tahun dimasukkan ke hospital di Dakota Utara kerana menghidapi kanser, dia menerima terapi muzik sebagai sebahagian rawatannya. Ramai orang mengalami kesan muzik yang amat berkuasa terhadap mood (suasana fikiran) mereka tanpa memahami sebabnya. Tetapi baru-baru ini, para penyelidik berjaya mendokumentasikan manfaat klinikalnya. Muzik kini digunakan sebagai rawatan untuk pesakit yang menghidapi kanser seperti Bella, begitu juga dengan pesakit-pesakit lain yang menghidapi penyakit Parkinson, demensia dan trauma.

Raja Saul berpaling kepada rawatan muzik ketika jiwanya berasa terganggu. Pegawai-pegawai Raja Saul melihat bahawa baginda tidak aman dan membuat cadangan untuk mencarikannya seorang pemetik kecapi supaya baginda “berasa nyaman” (1 Samuel 16:16). Mereka pun memanggil anak lelaki Isai, iaitu Daud datang, dan Raja Saul sangat suka kepada Daud lalu menyuruhnya agar “tetap berkhidmat” kepada baginda (ayat 22). Daud memetik kecapi untuk Saul pada waktu-waktu jiwanya terganggu, ini telah membawa kelegaan kepada penderitaannya.

Kita mungkin baru mula menemui secara saintifik apa yang diketahui Tuhan selama ini tentang kesan muzik kepada kita. Sebagai sumber dan pencipta kepada tubuh badan kita dan muzik, Tuhan telah menyediakan preskripsi untuk kesihatan kita yang sentiasa mudah diperoleh bagi semua orang, tanpa mengira zaman kita hidup, atau betapa mudahnya untuk berjumpa dengan doktor. Ketika tiada cara pun untuk mendengar muzik, kita boleh menyanyi kepada Tuhan dalam waktu suka atau duka, dengan menghasilkan muzik dari diri kita sendiri (Mazmur 59:16; Kisah Pasal Rasul 16:25).