Saya memanggilnya sebagai “keajaiban hijau”. Keajaiban ini berlaku setiap musim bunga lebih daripada 15 tahun. Pada setiap musim sejuk, rumput di halaman kami keabu-abuan dan keperangan, sehingga orang yang berlalu di situ mungkin akan menganggap rumput tersebut sudah layu. Salji turun di kawasan pergunungan Colorado, tetapi iklim di kawasan dataran—”The Front Range”—adalah kering. Malah pada kebanyakan bulan dalam setahun yang lebih panas, kita sering menerima amaran kemarau. Namun begitu, setiap tahun sekitar penghujung bulan Mei, saya akan memasang pemercik air—bukanlah dengan jumlah air yang banyak, tetapi setakat menyiram rumput dengan konsisten. Hasilnya dalam masa lebih kurang dua minggu, rumput yang terdahulunya kering dan keperangan akan bertukar menjadi subur dan hijau.

Rumput hijau tersebut telah mengingatkan saya tentang betapa pentingnya dorongan. Tanpa dorongan, kehidupan dan iman kita seperti sesuatu yang tidak bermaya. Namun begitu, alangkah mengagumkan apa yang dapat dilakukan oleh dorongan yang konsisten kepada hati, minda dan jiwa kita. Surat Paulus yang pertama kepada jemaah Tesalonika menekankan kebenaran ini. Masa itu jemaah Tesalonika sedang bergelut dengan kebimbangan dan ketakutan. Paulus sedar bahawa dia perlu menguatkan iman mereka. Oleh itu, Paulus menggesa mereka meneruskan usaha untuk saling menggalakkan dan meneguhkan (1 Tesalonika 5:11). Dia tahu bahawa tanpa dorongan sebegini, iman mereka akan pudar. Pada mulanya Paulus sendiri juga mempunyai pengalaman ini, namun orang percaya di Tesalonika itulah yang telah mendorong Paulus dan meneguhkannya. Anda dan saya juga mempunyai peluang yang sama untuk memberikan dorongan—saling menolong agar kita dapat bertumbuh dan berkembang.