Dalam cerpen seram Fredric Brown yang berjudul “Knock” (Mengetuk), dia menulis, “Lelaki terakhir di bumi duduk berseorangan di dalam sebuah bilik. Dia terdengar ketukan pada pintu.” Alamak! Siapakah itu? Apakah yang dikehendaki mereka? Makhluk misteri apa yang telah datang untuknya? Lelaki tersebut tidaklah keseorangan.
Begitu jugalah dengan kita.
Jemaah di Laodikia terdengar ketukan pada pintu mereka (Wahyu 3:20). Ilah apa yang datang mencari mereka? Nama-Nya Yesus, “Yang Pertama dan Yang Terakhir … Dia Yang Hidup” (1:17-18). Mata-Nya menyala-nyala laksana api, dan wajah-Nya “bersinar-sinar laksana matahari pada waktu tengah hari” (ayat 16). Apabila sahabat karib-Nya, Yohanes, terpandang sekilas akan kemuliaan-Nya, “rebahlah (dia) di kaki-Nya seolah-olah tidak bernyawa lagi” (ayat 17). Iman dalam Kristus bermula dengan takut akan Tuhan.
Kita tidak keseorangan, dan hal ini menghiburkan hati kita. Yesuslah “sinar gemilang kemuliaan Allah dan gambaran sempurna kewujudan-Nya. Dia memelihara segala-segalanya dengan kekuasaan firman-Nya” (Ibrani 1:3). Namun Kristus tidak menggunakan kuasa-Nya untuk mencabut nyawa kita, tetapi untuk mengasihi kita. Dengarlah pelawaan-Nya, “Jika seseorang mendengar suara-Ku dan membuka pintu, Aku akan masuk ke rumahnya. Aku akan makan bersamanya dan dia bersama-Ku” (Wahyu 3:20). Iman kita bermula dengan ketakutan—Siapakah yang berada di pintu?—dan kesudahannya ialah kita dialu-alukan dan dipeluk erat. Yesus berjanji untuk sentiasa menyertai kita, sekalipun kita manusia terakhir di muka bumi. Syukurlah kepada Tuhan kerana kita tidaklah keseorangan.