Apabila saya ternampak tangkai bersebelahan dengan hos kebun di tepi beranda kami mula bertunas, saya tidak mengendahkan tumbuhan yang kelihatan tidak berbahaya itu. Bagaimanakah mungkin lalang sekecil itu dapat memudaratkan halaman kami? Namun begitu, selepas beberapa minggu berlalu, tumbuhan perosak itu membesar menjadi belukar kecil dan mula menceroboh laman rumah kami. Tangkainya merayap melengkungi sebahagian laluan pejalan kaki kami dan berpucuk di kawasan yang lain. Setelah menyedari kewujudan lalang-lalang yang bersifat perosak itu, saya meminta pertolongan suami saya untuk menggali keluar akar lalang-lalang tersebut dan kemudian menggunakan racun rumpai untuk melindungi halaman rumah kami.

Apabila kita tidak mengendahkan atau menafikan kewujudan dosa, ia dapat menceroboh kehidupan kita seperti semak yang tidak terkawal dan menggelapkan ruang peribadi kita. Kegelapan tidak wujud sama sekali pada Tuhan kita yang tidak berdosa. Sebagai anak-anak-Nya, kita dilengkapi dan digesa untuk betul-betul menghadapi dosa supaya kita boleh “melangkah dalam cahaya, sebagaimana Allah wujud dalam cahaya” (1 Yohanes 1:7). Melalui pengakuan dosa dan pertaubatan, kita akan mengalami pengampunan dan kebebasan daripada dosa-dosa kita (ayat 8-10) kerana kita mempunyai Pembela yang agung—Yesus (2:1). Yesus rela menanggung segala dosa kita dengan menumpahkan darah-Nya, “malah bukan dosa kita sahaja tetapi dosa seluruh umat manusia” (ayat 2).

Apabila Tuhan menyedari kita akan dosa kita, kita boleh memilih untuk menafikannya, mengelaknya atau menolak tanggungjawab kita ke atas dosa kita. Akan tetapi, apabila kita mengakui dosa dan bertaubat, Tuhan akan menghapuskan dosa-dosa kita yang dapat menjejaskan hubungan kita dengan Tuhan dan orang lain.