“Ya Tuhan, hantarlah aku ke mana-mana sahaja tetapi janganlah ke sana.” Demikianlah doa saya masa remaja sebelum saya menjadi pelajar pertukaran asing selama satu tahun. Saya tidak tahu ke mana saya akan pergi, tetapi saya tahu tempat yang saya tidak mahu pergi. Saya tidak menuturkan bahasa negara tersebut, dan otak saya dipenuhi dengan prasangka terhadap adat resam dan penduduk negara tersebut. Oleh itu saya berdoa kepada Tuhan supaya menghantar saya ke tempat lain.
Namun Tuhan dengan hikmah-Nya yang tak terhingga telah menghantar saya tepat ke tempat yang saya doakan tidak mahu pergi. Saya amat bersyukur bahawa Tuhan berbuat demikian! Empat puluh tahun kemudian, saya masih mempunyai sahabat handal di negara itu. Ketika saya berkahwin, pengapit lelaki saya, iaitu Stefan, berasal dari negara itu. Apabila Stefan berkahwin, saya terbang ke sana untuk menjadi pengapitnya pula. Kami juga membuat rancangan untuk mengunjungi satu sama lain tidak lama lagi.
Perkara yang indah berlaku apabila Tuhan mengubahkan hati orang! Perubahan sedemikian telah digambarkan dengan dua patah perkataan sahaja: “Saudaraku Saul” (Kisah Para Rasul 9:17).
Kata-kata tersebut datang daripada Ananias, orang percaya yang diseru Tuhan untuk menyembuhkan penglihatan Saul sejurus selepas dia mempercayai Yesus (ayat 10-12). Pada mula-mulanya, Ananias menentang seruan tersebut disebabkan penganiayaan yang dilakukan oleh Saul sebelum itu. Oleh itu Ananias berdoa, “Ya Tuhan, aku telah mendengar ramai orang mengatakan hal orang itu. Dia telah banyak menganiaya umat-Mu yang salih di Yerusalem” (ayat 13).
Akan tetapi, Ananias tetap taat dan menyahut seruan tersebut. Oleh sebab Ananias berubah hati, dia mendapat seorang saudara seiman yang baharu, iaitu Saul yang kemudiannya dikenali sebagai Paulus. Dengan itu, Berita Baik tentang Yesus pun tersebar dengan berkuasanya. Perubahan sejati sentiasa menjadi nyata melalui Tuhan.