José baru percaya kepada Yesus dan pergi mengikuti kebaktian di gereja abangnya. Ketika dia melangkah masuk ke dalam gereja sebelum kebaktian bermula, abangnya terkejut melihat Jose yang bertatu ketara di kedua-dua belah lengannya kerana dia hanya memakai kemeja-T. Oleh itu, abangnya terus menyuruh José balik ke rumah untuk menukar kepada baju yang berlengan panjang. Tatu-tatu tersebut menunjukkan cara kehidupan lampau Jose. Tiba-tiba José berasa dirinya kotor. Namun seseorang terdengar perbualan antara dua orang beradik itu lalu bertindak untuk membawa José berjumpa dengan pastor gereja kemudian menerangkan segalanya. Pastor tersebut tersenyum lalu membuka bajunya serta menunjukkan lukisan tatu yang besar pada dadanya, tatu yang juga menunjukkan kehidupannya pada masa lampau. Dia meyakinkan José, “Tuhan telah menyucikan kamu dari dalam hingga luar, maka kamu tidak perlu menutup lengan anda.”

Raja Daud mengalami kegembiraan kerana disucikan oleh Tuhan. Setelah mengaku dosanya kepada Tuhan, raja ini menulis, “Diberkatilah orang yang diampuni kemungkarannya, dan yang dihapuskan dosa-dosanya” (Mazmur 32:1). Dia kini boleh “bersorak” dengan orang lain “yang tulus hati!” (ayat 11). Rasul Paulus kemudiannya memetik Mazmur 32:1-2 dalam Roma 4:7-8, petikan yang menyatakan bahawa iman kepada Yesus membawa keselamatan dan kedudukan yang murni di hadapan-Nya (lihat Roma 4:23-25).

Kesucian kita dalam Yesus adalah lebih daripada sekadar apa yang dilihat daripada segi luaran, kerana Dia mengetahui dan menyucikan hati kita (1 Samuel 16:7; 1 Yohanes 1:9). Semoga kita bergembira kerana Tuhan menyucikan kita pada hari ini.