Dalam perjalanan ke Paris, Ben dan rakan-rakannya mendapati diri mereka berada di salah sebuah muzium yang terkenal di bandar itu. Walaupun Ben bukan seorang pelajar seni, dia berasa kagum ketika melihat lukisan bertajuk Murid-murid Petrus dan Yohanes Berlari-lari ke Kubur Yesus pada Pagi Kebangkitan oleh Eugène Burnand. Tanpa kata-kata, raut wajah Petrus dan Yohanes dan kedudukan tangan mereka memberikan banyak maklumat, mengundang orang yang menikmati lukisan ini mengalami dan merasakan emosi mereka yang amat cemas.
Berdasarkan Yohanes 20:1-10, lukisan itu menggambarkan kedua-dua mereka berlari ke arah kubur Yesus yang kosong (ayat 4). Karya agung itu menunjukkan ketegangan kedua-dua murid yang mengalami pertentangan emosi. Walaupun pada ketika itu iman mereka belum terbentuk sepenuhnya, mereka berjalan ke arah yang betul, akhirnya Yesus yang telah bangkit menyatakan Diri kepada mereka (ayat 19-29).
Manusia yang mencari Yesus selama berabad-abad ini adalah sama keadaan dengan dua orang murid Yesus itu. Walaupun kita tidak dapat melihat kubur Yesus yang kosong atau karya seni yang hebat, kita dapat melihat berita baik itu dengan jelas. Alkitab menggesa kita berharap dan mencari, serta berlari ke arah Yesus dan kasih-Nya—walaupun ada keraguan, persoalan dan ketidakpastian. Esok, semasa kita merayakan Paskah, semoga kita mengingati kesetiaan Tuhan: “Kamu akan mencari hadirat-Ku dan menemukan Aku apabila kamu mencari Aku dengan segenap hatimu” (Yeremia 29:13).