Ketika berjalan melalui Galeri Nasional Scotland, saya tertarik dengan sebuah lukisan yang dilukis dengan cecahan berus yang kuat dan warna-warna cerah. Lukisan itu sebuah lukisan Pokok Zaitun yang dilukis oleh Vincent van Gogh, seorang pelukis Belanda. Ramai ahli sejarah percaya lukisan itu diilhamkan oleh pengalaman Yesus di taman Getsemani di Bukit Zaitun. Apa yang menarik perhatian saya pada kanvas lukisan itu ialah tompok-tompok cat merah kecil di antara pokok-pokok zaitun purba.

Tempat itu dikenali sebagai Bukit Zaitun kerana semua pokok zaitun terletak di lereng bukit. Yesus pergi ke sana untuk berdoa pada malam Dia meramalkan murid-Nya Yudas akan mengkhianati Dia. Yesus diliputi keperitan kerana mengetahui pengkhianatan itu akan mengakibatkan penyaliban-Nya. Semasa Dia berdoa, “peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah” (Lukas 22:44). Penderitaan Yesus sungguh dahsyat di taman itu, kerana Dia bersedia untuk mengalami kesakitan dan hukuman mati yang menghina di hadapan umum. Pada Jumaat Agung dua ribu tahun yang lalu, Tuhan mencurahkan darah-Nya bagi kita.

Cat warna merah pada lukisan Van Gogh mengingatkan kita bahawa Yesus harus “banyak menanggung kesengsaraan serta ditolak” (Markus 8:31). Walaupun penderitaan adalah sebahagian kisah penyelamatan-Nya, tetapi itu tidak lagi paling menonjol dalam seluruh gambar. Kemenangan Yesus atas kematian mengubah pandangan kita tentang penderitaan, malah membenarkannya menjadi sebahagian pemandangan hidup kita yang indah, hidup yang di-ciptakan-Nya.