Walaupun baru berusia 13 tahun, DeAvion menyahut cabaran untuk melayani orang lain. Dia dan ibunya pernah mendengar cerita tentang seorang lelaki yang menyeru budak-budak remaja memotong rumput bagi 50 buah rumah secara percuma semasa cuti musim panas mereka. Fokus mereka adalah membantu bekas askar, ibu tunggal, orang kurang upaya—atau sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan. Pengasas (yang telah memotong rumput bagi 50 buah rumah di 50 buah negeri) melancarkan cabaran tersebut untuk mengajar kepentingan etika kerja dan menyumbang kembali kepada masyarakat. Walaupun cuaca panas dan terdapat aktiviti-aktiviti lain yang boleh disertai oleh seorang remaja, DeAvion memilih untuk melayani orang lain dan menyelesaikan cabaran tersebut.

Cabaran untuk melayani juga berlaku kepada orang-orang yang percaya kepada Yesus. Petang sebelum Yesus disalibkan untuk semua orang, Dia makan malam bersama murid-murid-Nya (Yohanes 13:1-2). Dia memahami penderitaan dan kematian yang akan dihadapi-Nya tidak lama lagi, namun Dia berdiri lalu melucutkan jubah-Nya, mengikat sehelai tuala dan mula membasuh kaki murid-murid-Nya (ayat 3-5). Kata-Nya, “jika Aku sebagai Tuhan dan Gurumu sanggup membasuh kaki kamu, maka haruslah kamu saling membasuh kaki sesama sendiri” (ayat 14).

Yesus, Hamba yang rendah hati dan teladan kita, mempedulikan semua orang: Dia menyembuhkan orang buta dan sakit, mengajarkan Berita Baik tentang kerajaan-Nya, dan menyerahkan nyawa-Nya untuk sahabat-sahabat-Nya. Oleh sebab Kristus mengasihi anda, tanyalah Dia siapa yang Dia mahu anda layani minggu ini.