Semasa anak saya berumur hampir 3 tahun, saya perlu menjalani pembedahan yang memerlukan tempoh pemulihan selama sebulan atau lebih. Sebelum prosedur itu, saya membayangkan diri saya terlantar di atas katil sedangkan timbunan pinggan mangkuk kotor terkumpul di dalam sinki. Saya tidak pasti bagaimana saya akan menjaga anak kecil yang aktif dan berdiri di dapur untuk memasak. Saya takut tubuh saya yang lemah akan membawa kesan terhadap rentak kehidupan kami.

Tuhan dengan sengaja melemahkan tentera Gideon sebelum tenteranya berhadapan dengan orang Midian. Pertama, mereka yang takut disuruh pulang, maka 22 ribu orang yang pulang (Hakim-Hakim 7:3). Kemudian, antara 10 ribu orang yang tinggal, hanya mereka yang “menghirup air yang disauk dengan tangan dan dibawa ke mulut” yang boleh tinggal. Akhirnya, hanya 300 orang yang masih tinggal, namun kelemahan inilah yang menyebabkan orang Israel tidak boleh bergantung pada diri mereka sendiri (ayat 5-6). Mereka tidak boleh berkata, “Tanganku sendirilah yang menyelamatkan aku” (ayat 2).

Ramai kita mungkin pernah mengalami saat ketika kita berasa letih dan tidak berdaya. Ketika saya mengalami keadaan ini, saya menyedari betapa saya memerlukan Tuhan. Dia menggalakkan saya melalui Roh-Nya, dan menyokong saya melalui pertolongan rakan-rakan dan keluarga. Walaupun saya harus bergantung pada pertolongan orang lain untuk sementara waktu, tetapi pengalaman ini mengajar saya bergantung sepenuhnya pada Tuhan. Oleh sebab “kekuatan-[Nya] menjadi sempurna dalam kelemahan” (2 Korintus 12:9), kita boleh berharap pada Tuhan apabila kita tidak dapat memenuhi keperluan kita sendiri.