Sementara menunggu untuk memasuki universiti, Shin Yi yang berusia 22 tahun memutuskan untuk mengambil tiga bulan masa rehatnya untuk melayani sebuah organisasi misi belia. Tempoh itu kelihatan bukan masa yang sesuai, memandangkan sekatan COVID-19 menghalang pertemuan orang secara bersemuka. Namun tidak lama kemudian Shin Yi mendapat satu idea. “Kami tidak dapat bertemu dengan para pelajar di jalanan, pusat membeli-belah atau pusat makanan segera seperti yang biasa kami lakukan,” katanya. “Tetapi kami terus berhubung dengan para pelajar Kristian melalui Zoom untuk mendoakan satu sama lain dan orang yang tidak beriman melalui panggilan telefon.”
Shin Yi melakukan apa yang digalakkan oleh rasul Paulus kepada Timotius: “Jalankan kerja menyebarkan Injil” (2 Timotius 4:5). Paulus memberi amaran bahawa orang akan mencari guru-guru yang akan memberitahu mereka apa yang mereka mahu dengar, bukannya apa yang mereka perlu dengar (ayat 3-4). Namun Timotius dipanggil supaya berani dan “bersedialah pada setiap masa, baik masanya sesuai mahupun tidak.” Dia harus menunjukkan “apa yang salah, tegur dan nasihati mereka dengan seluruh kesabaran dan ajaran” (ayat 2).
Walaupun bukan semua orang dipanggil untuk menjadi penginjil atau pengkhutbah, kita masing-masing boleh memainkan peranan dalam berkongsi iman kita dengan orang-orang di sekeliling kita. Orang-orang yang tidak percaya akan binasa tanpa Kristus; orang-orang yang beriman pula memerlukan sokongan dan dorongan. Dengan pertolongan Tuhan, marilah kita mengisytiharkan Berita Baik-Nya pada bila-bila masa dan di mana sahaja.