Nombor telefon yang tidak dikenali muncul pada skrin telefon saya. Biasanya saya membiarkan sahaja panggilan itu pergi ke mel suara, tetapi kali ini saya menjawapnya. Pemanggil itu bertanya dengan sopan jika saya dapat meluangkan sedikit masa untuk mendengar dia berkongsi petikan Alkitab yang pendek. Dia memetik Wahyu 21:3-5 dan berkata bahawa Tuhan “akan menghapus setiap titik air mata dari mata mereka.” Dia juga bercakap tentang Yesus bahawa Dia ialah jaminan dan harapan kita. Saya memberitahunya bahawa saya sudah mengenali Yesus sebagai Penyelamat peribadi saya, tetapi tujuan pemanggil itu bukan untuk “bersaksi” kepada saya. Sebaliknya, dia hanya bertanya sama ada dia boleh berdoa bersama saya. Jadi, dia pun berdoa kepada Tuhan agar Dia memberi saya dorongan dan kekuatan.

Panggilan itu mengingatkan saya tentang “panggilan” lain dalam Alkitab—Tuhan memanggil Samuel yang masih muda di tengah malam (1 Samuel 3:4-10). Tiga kali Samuel mendengar suara itu, dan dia menyangka itu ialah suara imam Eli yang sudah tua. Kali terakhir, seperti arahan Eli, Samuel menyedari bahawa Tuhan yang sedang memanggilnya. Maka dia berkata: “Berfirmanlah, hamba-Mu ini mendengarkannya” (ayat 10). Demikian juga kita, sepanjang siang dan malam, Tuhan mungkin mahu berbicara kepada kita. Kita perlu “menjawabnya”, yang mungkin bermakna kita meluangkan lebih masa berada dalam hadirat-Nya dan mendengar suara-Nya.

Kemudian, saya terfikir akan “panggilan” dengan cara lain lagi. Bagaimanakah jika ada kalanya kita menjadi penyampai firman Tuhan kepada orang lain? Mungkin kita berfikir kita tidak tahu caranya untuk menolong orang lain, tetapi apabila Tuhan membimbing kita, kita boleh menelefon seorang rakan dan bertanya, “Bolehkah saya berdoa dengan kamu hari ini?”