Beberapa tahun yang lalu, saya menjaga ibu saya semasa dia berada di hospis, tempat penjagaan bagi pesakit yang menjelang peringkat akhir dalam hidup. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana selama empat bulan Dia mengizinkan saya melayani sebagai penjaga ibu saya. Saya juga meminta Tuhan menolong saya ketika melalui proses kesedihan itu. Keadaan bertambah sukar bagi saya untuk memuji Tuhan kerana saya bergelut dengan emosi yang tidak menentu. Tetapi ketika ibu saya menghembuskan nafasnya yang terakhir, saya menangis sepuas-puasnya, bahkan saya berbisik, “Haleluya.” Saya berasa bersalah kerana memuji Tuhan pada saat kesedihan itu, sehinggalah selepas beberapa tahun, apabila saya mula memahami Mazmur 30.
Dalam nyanyian Daud yang bertajuk, “Untuk pentahbisan tempat beribadat,” dia menyembah Tuhan kerana kesetiaan dan belas kasihan-Nya (ayat 1-3). Dia menggalakkan orang lain menyanyikan “puji-pujian kepada TUHAN” (ayat 4). Kemudian Daud memperhatikan betapa eratnya Tuhan menjalinkan kesusahan dan harapan (ayat 5). Dia mengakui ada masa kesedihan dan kegembiraan, masa berasa aman dan kecewa (ayat 6-7). Seruan Daud untuk meminta pertolongan penuh dengan keyakinannya kepada Tuhan (ayat 7-10). Pujian Daud kedengaran bergema melalui detik-detik ratapan dan tarian, kesedihan dan kegembiraan (ayat 11). Walaupun inilah satu misteri dan kerumitan yang sukar difahami untuk masih mengharapkan kesetiaan Tuhan sementara menanggung penderitaan, Daud mengisytiharkan kesyukurannya kepada Tuhan selama-lamanya (ayat 12).
Seperti Daud, kita juga boleh menyanyi, “Ya TUHAN, ya Allahku, aku akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya” (ayat 12). Sama ada kita gembira atau sedih, Tuhan dapat menolong kita menyatakan kepercayaan kita kepada-Nya, dan memimpin kita menyembah-Nya dengan sorakan dan pujian yang disertai air mata.