Autobiografi Agustinus, Confessions (Pengakuan-Pengakuan) menghuraikan perjalanannya yang panjang dan berliku ketika kembali kepada Yesus. Pada suatu ketika, dia sedang dalam perjalanan ke istana untuk menyampaikan ucapan yang mengangkat-angkat maharaja. Apabila dia sedang berasa gelisah bagaimana dia hendak mengampu raja, dia memperhatikan seorang pengemis yang mabuk sedang “bergurau dan ketawa” dengan orang lain. Dia menyedari kebahagiaannya yang singkat dan diperolehi melalui cara yang licik, semua ini boleh diperolehi oleh pemabuk itu dengan mudah, lebih-lebih lagi dengan sedikit usaha sahaja. Maka Augustine berhenti mengejar kejayaan duniawi.
Namun dia masih diperhamba oleh hawa nafsu. Dia tahu dia tidak dapat mengikut Yesus jika dia tidak bertaubat daripada dosa, dan dia masih bergelut dengan kehidupan seksual yang tidak bermoral. Jadi dia berdoa, “Berilah aku kesucian … tapi belum lagi.”
Dalam perjalanan iman, Agustinus terus tersandung, bergelut antara keselamatan dan dosa sehingga dia tidak tahan lagi dengan perbuatan dosanya. Melalui dorongan orang lain yang telah bertaubat dan kembali kepada Yesus, dia membuka Roma 13:13-14, “Ikutlah tingkah laku yang wajar … Jangan berpesta liar dan mabuk, jauhi noda dan pencabulan … Kenakan Tuhan Yesus Kristus sebagai kelengkapan senjata dan jangan hidup mengikut sifat tabii untuk memuaskan hawa nafsu.”
Itulah yang berlaku. Tuhan menggunakan kata-kata yang memberi inspirasi itu untuk memutuskan rantai hawa nafsu Agustinus dan membawanya “ke dalam kerajaan Anak yang dikasihi-Nya, melalui Dialah kita ditebus dan mendapat pengampunan dosa” (Kolose 1:13-14). Agustinus menjadi seorang biskop yang tetap tergoda oleh kemasyhuran dan hawa nafsu, tetapi kini dia tahu kepada siapa dia harus mengaku apabila dia berdosa. Dia bertaubat dan kembali kepada Yesus. Bagaimana dengan anda?