Jenayah itu mengejutkan dan penjenayah itu dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Pada tahun yang berikutnya, proses penyembuhan mental dan rohani lelaki itu bermula di sel penjara bersendirian. Dia mengalami pertaubatan dan perhubungannya dengan Yesus dipulihkan. Pada masa itu, interaksinya dengan orang lain adalah terhad. Tetapi dengan rahmat Tuhan, beberapa orang banduan telah menerima Kristus sebagai Penyelamat melalui kesaksiannya, sehingga mereka turut mengalami pengampunan-Nya.

Walaupun kini Musa diakui sebagai tokoh iman, dia juga pernah melakukan jenayah yang mengejutkan pada masa lampau. Setelah dia menyaksikan “seorang warga Mesir memukuli seorang Ibrani,” dia “menoleh ke sana ke mari” dan “membunuh orang Mesir itu” (Keluaran 2:11-12). Walaupun dia melakukan dosa ini, Tuhan dengan penuh rahmat-Nya tidak membiarkan hamba-Nya yang tidak sempurna ini. Kemudian, Dia memilih Musa untuk membebaskan umat-Nya daripada penindasan orang Mesir (Keluaran 3:10). Dalam Roma 5:14, kita membaca, “kematian telah bertakhta dari zaman Adam hinggalah zaman Musa, dan merajai semua orang termasuklah yang tidak melakukan pelanggaran.” Tetapi dalam ayat-ayat berikutnya, Paulus menyatakan bahawa walaupun kita berdosa pada masa lampau, “kasih kurnia Allah” membolehkan perhubungan kita dengan Tuhan berubah menjadi baik (ayat 15-16).

Kita mungkin berpendapat bahawa perbuatan kita yang lampau menyebabkan kita hilang kelayakan untuk mengalami pengampunan Tuhan dan digunakan untuk kemuliaan-Nya. Tetapi kerana dengan rahmat-Nya di dalam Yesus, kita boleh diubah dan dibebaskan untuk membantu orang lain mengalami perubahan hidup dan memperoleh hidup yang kekal.