Carson ialah seorang yang selalu sibuk. Dia gemar memburu, memancing, menunggang motosikal lumba (dirt bike) dan bermain papan selaju. Dia suka melakukan semua aktiviti luar. Tetapi dia mengalami satu kemalangan motosikal dan menjadi lumpuh dari bahagian dada hingga ke bahagian bawah anggota tubuhnya. Tidak lama kemudian, dia mengalami kemurungan dan berasa bahawa dia tidak memiliki masa depan. Kemudian pada suatu hari, beberapa orang rakannya membawa dia pergi memburu lagi. Untuk seketika dia lupa akan kecederaannya kerana dia seronok menikmati keindahan di sekelilingnya. Pengalaman ini membawa penyembuhan dalaman dan memberi inspirasi azam baru dalam hidupnya–membantu orang lain yang mempunyai situasi sepertinya boleh mempunyai pengalaman yang sama melalui sebuah organisasi yang bukan berasaskan keuntungan, Hunt 2 Heal. Dia mengatakan kemalangannya adalah satu “rahmat yang terselindung… Sekarang saya gembira kerana dapat berbakti, inilah yang saya selalu teringin lakukan.” Dia teruja untuk menyediakan tempat bagi mereka yang mempunyai ketidakupayaan mobiliti yang serius dan penjaga mereka untuk mencari penyembuhan.

Nabi Yesaya menubuatkan kedatangan seorang Peribadi yang akan membawa penyembuhan kepada hati yang hancur (Yesaya 61). Dia akan “membalut hati yang hancur” dan “menghiburkan semua yang berkabung” (ayat 1-2). Selepas Yesus membaca ayat Alkitab ini di rumah ibadat (saumaah) di kampung halaman-Nya, Dia berkata, “Pada hari ini ayat Kitab Suci ini telah terlaksana ketika kamu mendengarnya” (Lukas 4:21). Yesus datang untuk menyelamatkan kita dan melengkapkan kita.

Adakah anda memerlukan penyembuhan dalaman? Kembalilah kepada Yesus dan Dia akan memberikan anda “jubah puji-pujian sebagai ganti semangat yang pudar” (Yesaya 61:3).