Seorang wanita pernah memberitahu saya tentang satu pertelingkahan yang memecahbelahkan gerejanya. “Apakah pertelingkahan tersebut?” tanya saya. “Sama ada bumi ini rata,” katanya. Selepas beberapa bulan, berita tersebar tentang seorang lelaki Kristian yang bersenjata memecah masuk ke sebuah restoran untuk menyelamatkan budak-budak yang kononnya didera di bilik belakang. Namun tiada bilik belakang di restoran itu, dan lelaki tersebut diberkas. Dalam kedua-dua kes, orang yang terlibat bertindak berdasarkan teori konspirasi yang telah dibaca mereka di internet.
Orang yang percaya kepada Yesus dipanggil untuk menjadi warga yang baik (Roma 13:1-7), dan warga yang baik tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar. Pada zaman Lukas, banyak cerita disebarkan tentang Yesus (Lukas 1:1), sebahagiannya adalah tidak benar. Lukas tidak menyebarkan semua yang didengarnya, sebaliknya dia menjadi seorang pencari kebenaran, bercakap dengan saksi-saksi mata (ayat 2), “mengkaji perkara-perkara ini dari mulanya” (ayat 3), dan menulis penemuannya ke dalam injil yang mengandungi nama, petikan dan fakta sejarah berdasarkan orang yang mempunyai pengetahuan secara langsung, bukan penyataan yang tidak disahkan.
Kita boleh melakukan perkara yang sama. Oleh sebab maklumat palsu boleh memecahbelahkan gereja dan membahayakan nyawa, memeriksa fakta adalah tindakan untuk mengasihi sesama kita (10:27). Apabila kita mendengar cerita sensasi , kita perlu mengesahkan penyataan tersebut dengan orang yang berkelayakan, bertanggungjawab, menjadi pencari kebenaran–bukan sebagai penyebar yang khilaf. Perbuatan sedemikian menunjukkan kredibiliti Injil. Lagipun, kita menyembah seorang Peribadi yang penuh dengan kebenaran (Yohanes 1:14).