Satu bentuk ukiran kayu patung berhala telah dicuri daripada seorang wanita yang bernama Ekuwa. Oleh itu dia membuat laporan polis. Ketika pihak polis menemui patung berhala tersebut, pegawai polis menjemput Ekuwa untuk pengenalpastian. “Adakah ini tuhan kamu?” tanya mereka. Dengan sedihnya dia berkata, “Tidak, tuhan saya adalah lebih besar dan lebih cantik daripada itu.”
Manusia telah lama cuba memberi bentuk kepada konsep tuhan mereka, berharap kepada tuhan buatan tangan untuk melindungi mereka. Mungkin itulah sebabnya isteri Yakub, iaitu Rahel “mencuri terafim milik ayahnya” semasa mereka melarikan diri daripada Laban (Kejadian 31:19). Tetapi Tuhan masih melindungi Yakub, walaupun terdapat patung berhala yang tersembunyi di dalam khemahnya (ayat 34). Kemudian, dalam perjalanan yang sama, Yakub bergelut dengan “seorang lelaki” sehingga fajar menyingsing (32:24). Dia pasti memahami pihak lawannya bukan manusia biasa, kerana pada waktu fajar menyingsing Yakub menegaskan, “Aku tidak akan membiarkan kamu pergi sebelum kamu memberkati aku” (ayat 26). Lelaki itu menamakannya Israel (“Pergelutan dengan Tuhan”) dan memberkatinya (ayat 28-29). Yakub menamai tempat itu Peniel (“muka Tuhan”), “kerana aku telah bersemuka dengan Allah dan nyawaku terselamat” (ayat 30).
Tuhan—satu-satunya Tuhan yang benar—sesungguhnya jauh lebih besar dan lebih indah daripada apa yang pernah dibayangkan oleh Ekuwa. Dia tidak dapat diukir, dicuri, atau disembunyikan. Namun, sepertimana yang dipelajari oleh Yakub pada malam itu, kita boleh mendekati Dia! Yesus mengajar murid-murid-Nya untuk memanggil Tuhan sebagai “Bapa kami yang di syurga” (Matius 6:9).